Khamis, 8 Mac 2012

PAS UPU KOLAM

Salam....  kepada semua muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat yang melayari laman PAS UNIT PETI UNDI KOLAM.

Saya, saudara anda  seaqidah dan seperjuangan [ atau sesiapa saja walau tidak seaqidah dan seperjuangan ] dengan anda semua,  yang bernama FIKRI BIN AWANG, yang beralamat No. 1A, Lot 2134, Kampung Kolam, 16400 Melor, Kota Bharu, Kelantan. 

Selaku Ketua Unit Peti Undi Kolam, Dewan Undangan Negeri Jelawat, Parlimen Bachok, Kelantan dengan penuh tanggungjawab kepada agama yang dianuti dan terhadap pertubuhan yang dianggotai ingin melaksanakan tanggungjawab dialam maya ini bersama anda bagi mencapai matlamat dan cita-cita bersama dengan sekadar kemampuan yang ada.  InsyaAllah.

Saya berlindung dengan ALLAH SWT dari syaitan terkutuk dan nafsu jahat dalam usaha yang kecil ini.  Untuk makluman, pandangan yang diutarakan di ruangan "menyahut seruan perjuangan" ini adalah pandangan mewakili Unit Peti Undi Kolam dalam melengkapkan penerangan dan dakwahnya kepada masyarakat.

Dengan matlamat ingin menyuburkan hubungan ukhuwwah Islamiah sesama kita yang mempunyai cita rasa yang sama, juga untuk menjadikan segala catatan dan pandangan kita sejamaah sesiapa sebagai suatu impak menuju suatu kepada kefahaman yang jitu dan benar maka saya menyeru agar anda sekelian bersama dengan usaha yang kecil ini.

Kelemahan adalah kerana kita bekerja dan beramal. Namun perlu diingat bahawa ketiadaan kerja dan amal adalah  kelemahan dan kesilapan yang paling  besar dalam kehidupan perjuangan.

Maka mari kita sama beramal dan bekerja dengan suatu kesedaran bahawa kita adalah hamba-hambaNya yang saling memerlukan antara satu sama lain. Kita baiki kelemahan kita dengan suatu kerja dan amal yang berterusan.

Semuanya ini tidak terlaksana tanpa rahmat dan pertolonganNya. Kepadanya kita sama-sama bertawakkal.



Muqaddimah
Al-Hamdulillah, saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Allah SWT yang menganugerahkan nikmat al-Iman dan al-Islam kepada saya dan kepada sesiapa insan bertuah yang berada dalam kerangka dan ruang lingkup sistem hidup yang sempurna ini dari permulaan Islam dahulu kala sehinggalah keakhir zaman.

Selawat dan Salam  kepada junjungan agung Rasulullah SAW dengan sesempurna selawat dan salam dari umat baginda yang banyak salah 'terdosakan' diri kerana kelemahan kerohanian al-Iman dan al-Ihsan dalam jiwa dan sanubari.

Kini, diambang pilihan raya ke-13, sampainya PAS UNIT PETI UNDI KOLAM mengambil sikap melangkah kehadapan melancarkan laman webnya dengan tema MENYAHUT SERUAN PERJUANGAN.

Sesungguhnya, adalah diharapkan usaha ini dapat  meningkatkan keimanan, memuncakkan kerohanian dan menggilapkan kefahaman serta  memantapkan roh JIHAD pada setiap individu ahli, penyokong dan pendokong PAS.

Kerohanian dan keimanan, kefahaman dan roh JIHAD adalah perkataan yang makna dan  istilahnya saling kait mengait memperkemas dan menguatkan antara  satu sama lain dalam melangsungkan makna al-Islam dan perjuangannya.  Sesungguhnya tidak akan faham al-Islam jika tidak memahami al-Jihad. 

Namun dalam usaha memahami dan begitu juga perlaksanaan al-JIHAD,  kefahaman dan perlaksanaannya akan pincang  jika pengamalnya bergerak tanpa memahami hakikat suasana dan keadaan  [ waqi' ]  dibumi kita ini secara menyeluruh dan meyakinkan.

Di muqaddimah ini suka saya mengemukakan erti dan makna al-JIHAD sebagaimana yang dicatat oleh Imam Ibni Taimiah yang bererti; "AL-JIHAD  itu haqiqatnya ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhai ALLAH dari keimanan, amal salih dan menolak sesuatu yang dimurkai ALLAH dari kekufuran, kefasikan dan kederhakaan bermaksiat"

Kefahaman al-Islam yang jelas sebagaimana  dikehendaki oleh al-Qur'an dan al-Hadith amat diperlukan dalam usaha melaksanakan seruan  perjuangan ini.  Saya insan yang kerdil ini mengharapkan rahmat dan bimbingan Allah SWT  dalam mengendali dan mengutarakan  tema perjuangan ini. 

Perlu dinyatakan disini, dalam perjuangan ini, perkataan yang diselubungi perhatian yang tinggi dari mana-mana pihak ialah perkataan al-JIHAD. Tegasnya, tiada kebimbangan dalam menghurai dan menjelaskan sesuatu  kefahaman  tentang konsep al-Jihad ini  [ dengan izin Allah SWT ]  kerana dasar asas  amal jamaie membimbing dan mengatur perjalanan ini.

Pandangan saya tidak lebih dari apa yang saya fahami dari apa yang digariskan oleh pimpinan PAS. Pimpinan PAS menggerakkan PAS dengan kerjasama serta kekuatan Majlis Syura Ulamak dengan berpandukan kefahaman dari al-Quran dan al-Hadith.

Keyakinan kepada dasar kepimpinan ulamak menyebabkan saya menggabungkan diri dengan PAS.  Secara peribadi, kefahaman al-Islam sebagaimana yang difahami dan dibawa oleh pimpinan ulamak menjadi kefahaman dan pembawaan saya dalam perjuangan ini. Lalu dengan penuh keyakinan saya menyahut seruan perjuangan Islam sejak 1986.

Kini, disini kita bersama.... saya dan anda bersama menyahut seruan perjuangan Islam.  Justeru itu, persamaan dan perbezaan pendapat adalah rahmat Allah SWT bagi pembinaan ilmu dan pembentukan jiwa muzakarah yang menyegarkan. Moga-moga persamaan dan perbezaan ini mendorong kepada pencarian sebuah rahsia iaitu keikhlasan dalam sebuah perjuangan.

Persamaan adalah penyatuan dan pengukuhan.  Perbezaan pandangan adalah suatu jalan berseni dan berlikunya jalan didikan Allah SWT untuk dihayati dan  difikirkan bagi memantapkan kebenaran yang bakal di tunjang dan dipasakkan kedalam hati  selepas difahami dan diyakini.

Kepada pendokong PAS saya ucapkan, "selamat mengecapi kemanisan iman lantaran termakbulnya cita-cita dan impian berupa kebaikan yang dipohon daripada Allah SWT".  Ingatlah kebaikan dan kebajikan yang diterima itu adalah untuk kebaktian kepada al-Islam yang diamanahkanNya ini.

Kepada yang selain dari pendokong PAS saya mengucapkan, "selamat merenung dan memikirkan dengan penuh kelembutan dan kesenian serta kerancakan berfikir  terhadap perbezaan hati dan hujjah antara kita".  Keikhlasan dan kejujuran diri kepada suatu kebenaran dan berubah mengalah, tunduk dan patuh kepada kebenaran adalah suatu yang pasti kepada insan yang  sentiasa bermuhasabah.

Perbezaan, secara hikmahnya menunjukkan bahawa Dia  sentiasa menuntut hambaNya mencari petunjuk dan taufiq dariNya sehingga diwajibkanNya suatu rayuan "Tunjukilah kepada kami jalan yang lurus"..."Jalan mereka-mereka yang mendapat nikmat al-Islam, al-Iman dan al-Ihsan" dalam hidup dan perjuangan"

Maka, pengisian "menyahut seruan perjuangan" ini adalah tanggungjawab kita bersama dengan penuh hemah dan mesra "berkasih sayang sesama kita"  demi kelangsungan sebuah kehidupan yang berisiko tinggi tinggi.  Tanpa keikhlasan jawabnya kosong .......... .

Mari kita sama-sama garapi perjuangan ini demi  menuntut  kesyahidan atau kemenangan bersama tegaknya hukum Allah SWT untuk merasai nikmat syurga dan  keredhaanNya.  Amin. Amin. Amin  ya Rabb.

Allah Yang Maha Mengtahui

Menyahut Seruan Perjuangan ........mencari wajahNya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan